Thursday, November 5, 2009

KURSUS PEMANTAPAN GURU j-QAF



Pada 29-30 Okt 2009, telah berlangsungnya kursus pemantapan guru j-QAF bagi zon Bintulu.Seramai 9 org ustaz&ustazah telah mengambil bahagian termasuklah guru j-QAF SKSA Ust.Mohd Shafiee. Kursus ini telah memberikan pendedahan yang mendalam tentang P&P yg sepatutnya dan kaedah kolaborasi diantara guru didalam kelas.

Kursus ini dihadiri dan dirasmikan oleh Ustaz Sulaiman yg merupakan Pegawai Pemantau JPN Bahagian Pen.Islam. Pegawai Unit Pendidikan Islam PPD Bintulu Ust.Ubaidillah juga turut hadir dan memberikan kata-kata semangat kepada peserta. Antara penceramah yg dijemput ialah Ustaz Mohd Nasrul Abd Latif(JU MIRI),Ustazah Noresah(JU MIRI) & Ustaz Ibrahim Mat Isa(JU BINTULU).
Berikut antara aktiviti kursus tersebut:


Ustaz Ibrahim memberikan ceramah berkaitan Bacaan ikut guru (BIG)


Ust Mahdi kusyuk mendengar taklimat (kusyuk ka mengantuk syeikh????...)


Ustaz Nasrul dan celotehnya..


Antara jemaah yang hadir seronok menghadiri kursus ini..

Wednesday, October 28, 2009

BENGKEL E-LAPORAN PROGRAM j-QAF OKT 2009


Bintulu: 26.Okt.2009
Pada hari Isnin 26.Okt telah berlangsungnya bengkel E-LAPORAN program j-QAF yang kedua untuk bulan OKT 09. Bengkel ini telah dijalankan di Bilik Mesyuarat SK Assyakirin Bintulu. Semua penyelaras j-QAF sekolah-sekolah terlibat dari semua bahagian Bintulu telah hadir termasuklah dari Tatau dan Sebauh.
Bengkel ini telah dimulakan dengan kata aluan dari Ketua Unit Pendidikan Islam PPD Bintulu Ustaz Ubaidillah Abd Hamid. beliau juga telah mempengerusikan mesyuarat dan perbincangan mengenai aktiviti UPIM antaranya Majlis Khatam Al-quran peringkat Negeri Sarawak, KLAQ, peruntukan Kem Bestari Solat kedua dan lain-lain perkara yang berkaitan.
Bagi bengkel E-LAPORAN, Ustaz Amir Syarifuddin yang merupakan Ketua Teknikal E-Laporan Bahagian Bintulu telah memberi penerangan dan panduan import eksport data E-LAPORAN dan menggabungkan semua data untuk dibawa ke peringkan JPN kelak.
Majlis ditangguhkan sekitar pukul 2.00 petang..

Sunday, August 23, 2009

SELAMAT MENYAMBUT BULAN RAMADHAN AL-MUBARAK



Friday, August 21, 2009

Marhaban Ya Ramadhan..



Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan. Kedatangannya selepas dua bulan yang juga tidak kurang keistimewaannya iaitu Rejab dan Sya'ban. Bagi tujuan menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadat kepada Allah sepanjang Ramadhan ini, di sini dibawa beberapa hadis yang menceritakan mengenai kelebihannya.

1. Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. -Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi-

2. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu. - Diriwayat oleh imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi-

3. Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu. - Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e,Malik,Ahmad dan Baihaqi-

4. Daripada Abu Hurairah telah berkata: Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar). Telah berkata Abu Hurairah : Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda S.A.W bersabda : Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah(Islam).-Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, dan Baihaqi-

5. Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata: Rassullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya. -Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi-

PENERANGAN HADIS

1. Semua hadis menceritakan betapa besarnya kelebihan bulan Ramadhan untuk kita sama-sama menghidupkannya dengan segala amalan sunnah.

2. Pintu syurga dibuka sepanjang Ramadhan, manakala pintu neraka pula ditutup. Ini menggambarkan bagaimana Allah begitu mengasihani hambaNya yang taat beribadat dan menurut segala perintahNya.

3. Syaitan diikat sepanjang bulan Ramadhan agar kita dapat menunaikan segala ibadat dengan penuh keikhlasan. Tetapi kita perlu ingat bahawa kawan syaitan yang berada pada diri kita iaitu nafsu akan menggantikan tugas syaitan jika kita lalai.

4. Pentingnya keikhlasan dan keimanan kita dalam menunaikan ibadat.

5. Puasa mampu menjadi perisai diri daripada terjebak ke lembah maksiat, begitu juga ia mampu menghapuskan segala dosa-dosa yang lepas jika kita benar-benar bertaubat.

6. Kita mesti menghidupkan sunnah yang mana yang paling besar ialah berada dalam jemaah Islam terutama di dalam mengembalikan semula khilafah Islamiah yang telah lama dihancurkan iaitu pada 1924.

7. Jauhkan daripada syirik pada Allah sama ada berbentuk perbuatan, niat ataupun percakapan. Kita mesti mematuhi segala perjanjian yang dibuat selagi tidak melanggar hukum syarak.

8. Kita mesti berpuasa pada semua anggota bukannya pada makan dan minum sahaja.

9. Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bauan kasturi.

10. Orang berpuasa akan mengecapi dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan apabila bertemu Allah kelak.

11. Di dalam menunaikan ibadat puasa kita mesti banyak bersabar dan jangan suka berbual kosong apatah meninggikan suara apabila bercakap.

Biografi

1. Kitab Fadhailul Awqat oleh imam Al-Baihaqi,ditahqiq oleh Adnan Abdul Rahman MajidAl-Qaisi,Maktabah Al-Mnarah,Makkah.

2. Fathul Bari syarah sohih Bukhari oleh Ibn Hajar Al-'Asqalani

3. Syarah sohih Muslim oleh imam An-Nawawi.

Friday, July 31, 2009

UNTUKMU WANITA..



UNTUKMU WANITA ADALAH SEBUAH BUKU HASIL TULISAN AL-FADHIL USTAZ SHAMSUJUNAIDI eL-SYAMS. MENGUPAS TENTANG PERMASALAHAN HAID, NIFAS, ISTIHADAH DAN YANG BERKAITAN DENGAN WANITA. BERSAIZ SEDERHANA, BAHASA MUDAH YANG SENANG DIFAHAMI DAN SESUAI UNTUK RUJUKAN SEMUA SAMADA LELAKI@WANITA. HARGA BUKU INI RM 6 DAN BERBALOI UNTUK DIMILIKI. TEMPAHAN BOLEH DIBUAT KEPADA USTAZ MOHD SHAFIEE MELAUI e-MEL shafieerazali@yahoo.com atau hubungi terus di talian 0196415577. Kos penghantaran adalah RM2 bagi pos biasa dan RM4 bagi pos ekspress. Bersama menambahkan ilmu,..Segala pertanyaan boleh terus hubungi Ustaz Mohd Shafiee (Ibnuraz@Moshar)

Tuesday, July 28, 2009

PERISTIWA ISRAK DAN MIKRAJ BUKTIKAN KEKUASAAN ALLAH SUBHANAHU WAATALA



MARILAH kita bertakwa ke hadrat Allah Subhanahu Wataala dengan bersungguh-sungguh, kerana dengan berhias takwalah kita akan selamat baik di dunia mahupun di akhirat iaitu dengan mengerjakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala apa-apa jua larangan-Nya.

Sebagaimana yang telah menjadi kelaziman seluruh umat Islam, apabila menjelang tarikh 27 Rejab setiap tahun akan mengadakan dan menyambut berbagai-bagai acara sebagai peringatan sejarah agung iaitu Israk dan Mikraj Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Kita di Negara MALAYSIA ini juga tidak ketinggalan dalam menyambut dan merayakannya sebagai ingatan kita kepada peristiwa agung itu.

Sempena kita memperingati hari dan bulan yang mulia lagi mempunyai kelebihan yang telah dikurniakan Allah Subhanahu Wataala kepada junjungan kita Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam, hendaklah kita jadikan sambutan dan perayaan kita dalam memperingati peristiwa yang berlaku dalam bulan yang mulia ini untuk memperbaharui taat kita terhadap perintah Allah Subhanahu Wataala dan bersegera meninggalkan larangan serta membersihkan segala amalan-amalan kita dari sifat-sifat yang keji dan buruk. Supaya amalan-amalan kita itu benar-benar bersih seperti yang dikehendaki Allah Subhanahu Wataala.

Semoga dengan kita mengikuti peristiwa Israk dan Mikraj ini tidak syak lagi rasa keimanan kita akan bertambah, perasaan takut dan takwa kian menebal di hati kita secara langsung ia boleh dihubungkan dengan kehidupan kita di dunia ini dan sebagai satu contoh teladan dalam membentuk satu kehidupan yang benar-benar berdasarkan kepada agama Islam.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam perjalanan Israk dan Mikraj telah banyak menyaksikan beberapa kejadian aneh lagi pelik dan ajaib. Kejadian-kejadian ini kiranya akan dapat menggerakkan hati kita bertakwa dan akan meneballah perasaan takwa kita terhadap seksaan dan azab dari Allah Subhanahu Wataala.

Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.

Golongan orang-orang kafir tidak percaya kerana pada pemikiran mereka amat mustahil Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam menjalani Israk dan Mikraj di dalam waktu begitu singkat iaitu cuma sepertiga malam sahaja. Pada hal perjalanan yang begitu jauh jaraknya iaitu dari Masjidilharam di Mekah ke Masjidilaqsa di Palestin. Kemudian naik menjalani tujuh lapisan langit. Menurut dakwaan mereka yang demikian itu adalah suatu yang tidak masuk akal jika dilakukan oleh manusia seperti Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam.

Kita penuh yakin bahawa Israk dan Mikraj Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam itu adalah berlaku dengan jasad dan roh Baginda. Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.

Salah satu kesan Israk dan Mikraj itu ialah mendidik umat untuk menghayati makna kehidupan yang sepatutnya ditempuh oleh setiap insan yang ingin memanfaatkan hayatnya menurut yang dikehendaki oleh Allah Subhanahu Wataala yang mencipta segala apa yang ada di langit dan di bumi. Iaitu kehidupan yang berkebajikan di dunia dan di akhirat. Dalam sejarah perkembangan umat Islam, musuh-musuh agama Islam yang maha suci, bekerja keras untuk memesongkan akidah dan pendidikan hidup kaum Muslimin dengan tujuan untuk membawa kehancuran kepada kehidupan pendukung ajaran Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam.

Kejadian Israk dan Mikraj Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ini mengandungi lautan hikmah. Jika umat Islam mahu merenung secara teliti dengan menggunakan akal fikiran anugerah dari Allah Subhanahu Wataala. Namun kebanyakan manusia tidak begitu mengambil perhatian dan ingatan anugerah Allah yang termahal berupa akal tidak dipergunakan ke tempat yang wajar.

Justeru itu perbanyakkanlah amal ibadat, berbuat kebajikan dan sentiasa memohon ampun dengan beristighfar serta berzikir mengingati Allah, khususnya di bulan ini iaitu bulan Allah dan seterusnya di bulan-bulan yang akan datang. Semoga dengan cara demikian akan mendapat balasan setimpal dengan apa yang kita buat dan terhindar diri kita daripada mendapat balasan seksa sepertimana yang telah diperlihatkan oleh Allah Subhanahu Wataala dalam Israk dan Mikraj Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

Thursday, May 21, 2009

GURU..dimanakah kedudukannya..

Selamat hari guru diucapkan kepada semua warga pendidik di Malaysia. Perlu diingat, guru bermakna semua insan yang pernah mendidik insan lain samada melalui pendidikan formal seperti di sekolah, institusi pendidikan, institusi pengajian dan juga pendidikan yang tidak formal seperti pengajian pondok, pengajian Al-Quran di rumah, tuisyen dan yang seangkatan dengannya.

Teringat dimasa dahulu, sewaktu berada dizaman persekolahan, kalau disebut sahaja perkataan "cikgu", pastinya ketakutan menyelubungi diri. Namun, dengan didikan dan tunjuk ajar merekalah yang menjadikan manusia benar-benar manusia. Kalau dilihat, kedudukan guru ini sebenarnya berada ditahap yang paling tinggi kerana mereka bukan sahaja berperanan sebagai pendidik, malahan sebagai pembentuk peribadi anak didik mereka sendiri. Sebagai contoh, profesion perguruan ini amat berbeza dengan profesion lain, doktor misalnya yang merawat pesakit, namun akan terhenti sahaja disitu apabila pesakitbya sudah sembuh, tetapi guru menghasilkan pelbagai jenis manusia yang akan menghasilkan pula generasi lain dibawah mereka. Disini sahaja dapat digambarkan betapa berat dan mulianya tugas sebagai seorang guru ini.

Dalam sebuah cerpen yang pernah memenangi tempat ke2 pertandingan cerpen hari guru peringkat negeri sarawak 2008 (penulis cerpen merupakan warga SKSA), terdapat ungkapan "teachers produce human". Kalau dilihat makna ungkapan tersebut dengan lebih mendalam, kita akan tahu bahawa gurulah yang akan mencorakkan segala jenis manusia di muka bumi ini melalui pendidikan dan pengajaran yang sempurna.

Namun, dewasa ini, sering didengar keadaan yang mana masyrakat agak memandang serong dengan persepsi yang kurang enak didengar berkenaan dengan profesion perguruan ini. Tidak dinafikan bahawa guru juga melakukan kesilapan, kesalahan dan kekhilafan kerana guru juga merukan khalifah dan insan biasa yang daif sama seperti insan-insan lain.Namun, hakikatnya kerana setitik nila yang dititikkan oleh segelintir golongan pendidik ini, maka setempayan pendidik lain juga menerima tempiasnya.

Disinilah yang ingin dilihat, dimanakah kedudukan guru kini? Dibandingkan dengan masa dahulu, guru ini dipandang tinggi oleh masyarakat, ibubapa menghantar anak-anaknya ke sekolah dengan penuh harapan dan memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada guru. jika kini, dapat dilihat guru hanyalah satu profesion biasa sahaja seperti profesion lain. masyarakat menganggap, tugas mereka hanyalah mengajar, tidak lebih dari itu.

Tema Hari Guru ke-38 tahun ini 'Guru Pembina Negara Bangsa' menampakkan agenda membina tamadun negara melalui proses pendidikan yang menjadi nadi pembangunan negara kita di masa akan datang.

Cabaran guru masa kini berhadapan dengan masalah kecelaruan sosial masyarakat yang bermula daripada institusi keluarga yang ampuh dan longlai. Apabila institusi keluarga sejahtera, bahagia gagal dibentuk, maka pembinaan individu manusia menjadi tidak seimbang.

Ini mengakibatkan guru-guru terpaksa terlebih dahulu menangani 'masalah sikap' dan membentuk peribadi para pelajar sebelum meneruskan proses penyampaian ilmu dengan pelbagai medium dan kaedah bersesuaian.

Selain itu proses membentuk daya tahan dan membangunkan sistem imuniti melalui aspek penerapan 'akidah' dan kefahaman terhadap agama serta akhlak merupakan cabaran para guru. Ini adalah kerana dunia ledakan maklumat tanpa sempadan (IT) seringkali membuka ruang dan peluang untuk anasir-anasir negatif masuk dan menusuk minda anak-anak muda kita. Guru-guru dengan wibawa yang tersendiri mampu melatih pelajar dalam mewujudkan daya saing yang ampuh bagi mendepani segala anasir dan unsur-unsur negatif yang berleluasa.

Segala cabaran kehidupan yang dipengaruhi aspek teknologi serta pengembangan ilmu pada hakikatnya akan mendatangkan kesan positif secara menyeluruh sekiranya fokus dan halatuju adalah berdasarkan konsep yang telus.

Allah telah berfirman dalam Surah Al-Asr, yang bermaksud: "Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran."

Akhir kata, dimanakah kedudukan guru hanyalah ditentukan oleh oleh insan-insan yang tahu bahawa siapakah diri mereka, dimanakah diri mereka, kemanakah diri mereka, tanpa insan yang bergelar "GURU"..

belum terlambat lagi kiranya diberikan ucapan penghargaan kepada semua guru di Malaysia di atas segala komitmen membentuk masyarakat Malaysia supaya menjadi insan yang berperibadi dan luhur tinggi. Anjakan paradigma terhadap peranan mendidik masyarakat perlu dijadikan satu agenda pelaksanaan yang menyeluruh kepada semua warga Malaysia, agar agenda 'mendidik anak bangsa' tidak hanya diletakkan di bahu para guru semata-mata.(nukilan hanyalah pendapat dan pandangan peribadi penulis semata-mata)

Template by:
Free Blog Templates